UKHUWWAH TILL JANNAH

'UKHUWWAH TILL JANNAH'

Thursday, March 27, 2014

Renungan 3 : Membudayakan Tegur Menegur


السلام عليكم ورحمةالله ﻭﺑﺮﻛﺎﺗﻪ


Sahabat yang dihormati sekalian,

terlebih dahulu marilah kita membaca surah al Fatihah dan disedekahkan pahala bacaannya pada mangsa MH370 yang beragama Islam dan juga kita berdoa semoga 529 ahli Ikhwanul Muslimin yang di hukum mati oleh mahkamah Mesir ditetapkan keimanan dan teruskan perjuangan. Sesungguhnya perjuanganmu mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Gambar hiasan
Dalam ruangan renungan kali ini saya ingin mengajak sahabat semua mengamalkan budaya tegur menegur sesama kita dan juga kepada rakan-rakan kita yang lain.

Tegur menegur merupakan asas dalam konsep amar ma'ruf nahi mungkar.



{ من رأى منكم منكراً فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان }


Daripada Abu Said alKhudri r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda  : “ Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran , hendaklah ia mengubah dengan tangannya (kuasa). Sekiranya ia tidak mampu, hendaklah ia mengubah dengan lidahnya (nasihat). Sekiranya ia tidak mampu, hendaklah ia mengubah dengan hatinya (tidak meredhai perbuatan tersebut). Yang demikian adalah selemah-lemah iman” 
Hadis riwayat Imam Muslim.

Gambar hiasan
Jika ada  kesalahan atau kesilapan yang dilakukan oleh rakan kita, tegurlah dengan baik. Mungkin rakan kita itu tidak tahu apa yang dilakukan itu adalah satu kesalahan. Mudah- mudahan teguran kita dapat membetulkan kesalahan yang rakan kita lakukan dan juga dapat mengingatkan kita untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Jika dia terima teguran itu, Alhamdulillah, jika teguran kita tidak di terima maka terlepas tanggungjawab kita sebagai rakan yang baik. Perlu diingat kita juga perlu bersedia menerima teguran. Dengarlah teguran yang diberi dengan tekun dan ambillah peluang untuk kita muhasabah diri.





Jika pada pandangan kita, rakan kita telah melakukan kesalahan tetapi apabila ditegur, rakan kita itu menjelaskan apa yang dia lakukan itu bukan kesalahan, maka kita dapat ilmu/pengajaran, tetapi jika jelas apa yang dilakukan itu salah, tapi rakan kita tetap cuba menegakkan benang yang basah, maka tanggungjawab kita sebagai rakan tertunai.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Seorang Mukmin adalah cermin bagi Mukmin yang lain. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang bersolat terlalu cepat dan menyuruh mengulangi solatnya. Apa terjadi kalau Rasulullah SAW tidak menegur, maka sahabat tersebut akan berterusan melakukan kesalahan sehinggalah dia ditegur atau mengetahuinya sendiri ( .. mungkin dengan belajar).

Gambar hiasan
Dato' Hassan Din dalam ceramahnya menceritakan beliau pernah menegur seorang yang melakukan kesalahan dalam solat dan menyuruh orang itu solat semula.

Mungkin solat rakan kita itu sah sebab dia tak tahu kesalahan yang dilakukan dalam solat, tetapi bagi kita yang nampak kesalahan itu...??? "Biarlah dia, biar orang lain yang tegur". Maka orang itu akan berterusan melakukan kesalahan .. sampailah ada orang yang menegur, itu pun kalau ada orang yang tegur, kalau tak ada?...tidakkah tindakan kita yg tidak menegur itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak?...boleh tak kalau rakan kita yang melakukan kesalahan itu di akhirat kelak berkata " ...mengapa kamu tidak menegur aku sedangkan aku tidak tahu itu adalah satu kesalahan.."


Pernah satu hari di Pasar Taman Dato' Harun ada budak sekolah menghisap rokok tanpa segan silu, sedangkan ada ramai orang dewasa di sekeliling dan tidak ada siapa yang menegur..!!

Ya, kemahiran untuk menegur kena ada;

  • Kita menegur dengan ikhlas bukan dengan niat untuk menghina, menyakiti atau balas dendam;
  • Kita menegur jangan sampai menjatuhkan maruah orang yang ditegur;
  • Kita menegur hendaklah kena pada tempat dan masanya;
  • Kita menegur menggunakan nada (suara/intonasi) dan ekspresi muka yang lembut;
  • Kita menegur menggunakan ayat atau bahasa yang bersesuaian;

Gambar hiasan


Jika dapat kita mulakan budaya tegur menegur dikalangan rakan-rakan kita, Insya Allah, mudah untuk kita menegur orang yang tidak kita kenali.

Mungkin juga akibat tak baik berlaku, jika kita tegur contohnya dimarahi, ditengking dan sebagainya. Itu adalah asam garam seorang mukmin yang bersaudara yang tidak mahu melihat saudaranya bergelumang dengan dosa.

Insya Allah dengan adanya budaya tegur menegur ini, kita semua dapat menjadi seorang Muslim yang kamil dan lebih cemerlang.

Saya tak pasti sama ada sahabat semua baca atau tidak tulisan ini, jika ada salah silap harap maaf. Jika ada kesalahan mohon diperbetulkan ...berhemah dalam tegur menegur ....




والله أعلم

محمد خيرالدين بن منان
26 Mac 2014

1 comment:

Anonymous said...

biar berhemah, biar berhikmah, niat menegur utk pengajaran bukan setakat utk sipelaku tapi juga peringatan buat yang menegur.

dlm zaman sekarang ni, balasan Allah sangat cepat boleh dilihat. takut2 nanti jika silap tegurannya berbalik plak teguran tu kat kita. nauzubillah.

sedangkan orang jauh kita perlu tegur, inikan pula orang yg dekat dengan kita yang menjadi tanggungjawab kita.

wallahualam. apa2 pun terima kasih tuan atas ingatan. sama2 jadikan panduan.