بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
Pada pagi yang barokah ini, saya ingin berkongsi info dengan anda semua berkenaan dengan mengapa doa kita masih belum dimakbulkan Allah.
Kita berdoa setiap hari, macam-macam benda yang kita mohon pada Allah SWT. Tapi nampak macam doa kita tidak memberi sebarang kesan dan dimakbulkan ... "makbul ke doa aku ni...?"
Sedangkan Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran:
قال ربكم ادعونى أستجب لكم
(al-ghofir/al-mu'min: 60)
"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu".
Ada banyak perkara yang boleh kita bicarakan tentang perkara ini, tapi saya lebih berminat nak membicarakan kata-kata seorang ahli sufi yang terkenal iaitu Ibrahim ibn Adham (Abu Ishaq), apabila beliau ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah di Iraq mengenai mengapa doa mereka belum dimakbulkan Allah.
Ibrahim ibn Adham menjawab,"Doa tidak dimakbulkan kerana hati kamu telah mati."
Lalu ditanya lagi, " Apa yang boleh mematikan hati?
Beliau menjawab, "Ada sepuluh perkara, iaitu
1. Kamu mengetahui hak Allah tetapi kamu tidak menunaikan hakNya
2. Kamu membaca Al-quran tetapi kamu tidak berusaha untuk beramal dengannya.
3. Kamu sangka kamu mencintai Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
4.Kamu mengecapi nikmat Allah SWT tetapi kamu tidak bersyukur kepadaNya.
5. Kamu tahu syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.
6. Kamu mengaku adanya syurga tetapi kamu tidak beramal untuknya.
7. Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak menghindarinya.
8. Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
9. Kamu sibuk mencari dan memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.
10. Kamu kebumikan jenazah saudaramu tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.
Jika begini, bagaimana mungkin Allah mengkabulkan doa kamu?"
10 perkara di atas telah dinyatakan dengan jelas sekali dan tak perlu diulas. Anda semua boleh menilai sendiri, ...ada tak sepuluh perkara tersebut pada diri kita?
Jangan salahkan Allah SWT jika doa kita tidak dimakbulkan. Perbaiki dan muhasabah diri anda dan jangan putus asa berdoa kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.
والله أعلم..
No comments:
Post a Comment