بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
PERJUANGAN HIDUPKU
Hasrat untuk menjadi seorang pendidik
tidak terlintas langsung dalam kotak fikiran ini setelah menduduki peperiksaan
MCE ( Malaysian Certificate of Education
- 2 tahun kemudian diganti dengan
SPM) pada tahun 1978. Masih seronok
dengan alam remaja, dikelilingi oleh rakan-rakan perempuan; maklumlah menuntut ilmu yang menempatkan murid-murid perempuan sahaja; pilihan arwah bapaku. Sewaktu
bersama kawan-kawan, tiada lain - cerita-cerita suka duka untuk menempuh hidup
yang penuh pancaroba dimana semuanya akan meninggalkan alam persekolahan.
Bapaku seorang yang berpendirian
tegas. Seorang guru sekolah yang berdisiplin dan sangat prihatin akan
kemenjadian anak-anaknya. Diri ini diasuh dan dibelai serta diberi pendidikan
supaya tahu menghargai apa yang dikehendaki oleh Pencipta yang Maha Agong.
Dalam diam-diam, rupanya arwah bapaku telah berhasrat untuk menghantar aku ke
maktab perguruan. Masih terngiang-ngiang kata-katanya dalam nada yang lembut,
“Jadilah cikgu, kerja separuh hari. Bila dah kahwin separuh hari tu, untuk
suami dan anak-anak”. Tapi, hati ini meronta-ronta kerana tidak mahu mengikut
jejaknya; hati ini memberitahu yang pekerjaan seorang guru bukan untukku. Aku
mahu pekerjaan yang berbentuk lasak dan mencabar.
Semua itu terkubur setelah keputusan
MCE disiarkan dan borang untuk masuk ke maktab perguruan telah pun berada ditangannya.
Aku tidak diberi pilihan. Malangnya ketika itu, tidak ada ceramah atau
bimbingan atau kata nasihat tentang “career” masa depan. Apa daya ku.....
Sewaktu dibangku sekolah, hidupku hanya di padang hoki. Adakah aku akan jadi
guru Pendidikan Jasmani? Hanya bersukan dan bermain hoki yang telah membawa aku
ke peringkat tinggi. Tahun 1980, aku gagal ke maktab perguruan. Calon-calon
guru Pendidikan Jasmani sangat ramai. Bapaku tidak berputus asa, arwah (beliau)
mencari jalan agar aku dapat juga menjadi seorang pendidik.
Haluan diri ini telah ku ubah. Melalui seorang kawan, aku telah bekerja
disebuah syarikat swasta di Seksyen 13, Petaling Jaya. Nama syarikat itu
William Jacks, kini telah lenyap di bumi Malaysia – sebuah syarikat yang
membekal kabinet dapur dan bahasa pertuturan adalah bahasa Inggeris. Alhamdulillah, bahasa Inggeris ku “not bad”, tempat
kerja dan tempat tinggal pula sangat dekat. Aku hanya berjalan kaki ke tempat
kerja. Kini rumah yang ku duduki - berdekatan dengan SK Sri Petaling tu sudah
dijadikan showroom. Rumah tu kebetulan
didiami oleh saudara ku. Walaupun hidup
di kota (ketika itu baru berumur 19 tahun), tapi aku tidak pandai bersosial.
Pada masa yang sama, arwah bapaku telah pun membawa aku berjumpa dengan sepupu
emak ku, seorang pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran. Katanya, laluan dan
pilihan yang paling mudah ke maktab
perguruan adalah menjadi guru muzik kerana ketika itu guru muzik bangsa Melayu
amat kurang di Malaysia.
Aku tidak ada pilihan. Arwah bapaku
telah membeli sebuah organ. Pada zaman dulu, kalau ada alat muzik di rumah
apatah lagi rumah orang Melayu.... hebat! Aku disuruh belajar bermain organ.
Aduh! Manakan mau.... tangan ini tahu menghayun kayu hoki manakan mau jari-jari
ini memetik keyboard organ!!! Namun, aku tidak menghampakan hasrat murni bapa
yang amat kusayangi. Dalam masa beberapa bulan, aku berjaya bermain organ dan
belajar selok belok dunia muzik disamping bekerja sebagai kerani am. Pada
ketika itu, gaji yang ku terima ialah RM 550.00, memang besar jumlahnya. Arwah
bapaku yakin aku akan mengikut jejak langkahnya, tanpa persetujuan dari emakku.
Borang telah pun dihantar ke Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan tak lama
kemudian sesi temuduga dijalankan. Untuk memenuhi hasrat orang tua ku, aku
bersungguh-sungguh dalam sesi temuduga yang memerlukan aku bermain alat muzik,
menyanyi dan menari tarian Melayu asli.
Ya, aku diminta menari tarian zapin. Bagaimana lincahnya aku di padang
hoki, begitulah ku ‘transform’ kan kedua kaki untuk dihayun bersama dengan
irama melayu. Betul atau salah, belakang kira, janji aku BUAT!
01. 04.1981 – Tarikh keramat : kakiku
menjejaki Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. Kumpulan pertama bagi sesi 3 tahun latihan
perguruan – 1981 – 1983 jurusan muzik. Wajah kedua orang tua ku ketika itu, tak
dapat ku bayangkan, mereka berdua terlalu gembira kerana anak tunggal perempuan
mereka akan menjadi seorang GURU. Tercapai cita-cita bapaku yang aku menjejak
langkahnya. Suatu bidang yang sangat asing buat diriku, namun ku lalui juga
walaupun aku menghilangkan diri di padang hoki dan mula mengenali permainan tenis. Hidup ku dibahagi dua -
mewakili maktab dalam pertandingan hoki dan pertandingan nyanyian/lakonan antara
maktab-maktab perguruan di seluruh Malaysia. Kenangan yang tidak mungkin ku
lupakan semasa menjadi guru pelatih.
Kini, tahun 2014 genaplah 30 tahun aku
menjadi seorang guru; pernah mengajar di sekolah-sekolah sekitar Teluk Intan,
Perak dan di Petaling Jaya, Selangor. Kalau nak dihitung lebih dari 15 buah
sekolah telah ku beri sumbangan. Hidupku bergelumang dalam dunia pendidikan –
murid dan buku tidak dapat dipisahkan, pelbagai jawatan telah kusandang baik
dari segi kurikulum atau kokurikulum mahupun sebagai pentadbir sekolah samada
di sekolah mrendah atau menengah. Menjadi guru, amat mencabar sebab aku
berhadapan dengan manusia yang berbagai ragam – berurusan sesama rakan-rakan
seperjuangan, ibubapa, murid-murid dan komuniti sekeliling. Alhamdulillah,
Allah telah mempermudahkan segalanya hingga dunia perguruan yang tidak ku impi
telah sebati dalam diriku ini.
Tahun ini, tahun
bersejarah buat diriku kerana insan-insan yang pernah menjadi muridku telah
meraikan perkhidmatanku selama 30 tahun sebagai pendidik (1984-2014). Satu keajaiban!!! Murid-muridku Darjah 6A,
SRK Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor, khasnya, kalian amat istimewa
dalam hidupku ini. Kuasa Allah swt tidak siapa pun tahu, sesungguhnya pertemuan
kita dalam tahun 1986 tidak hilang begitu saja. Syukur, dikala hayat ku yang
akan hampir ke penghujung, kita dipertemukan semula!!! Sekali lagi..... terima
kasih kesemua otai-otai 86, semoga ikatan ukhuwah berkekalan hingga ke ahir
hayat.
“SELAMAT HARI GURU” juga ku ucapkan kepada
murid-muridku yang juga menjadi GURU agar menabur bakti kepada anak-anak bangsa
demi negara yang tercinta dan bekerja kerana Nya. Syabas dan tahniah, kalian
telah berjaya dipersada dunia.
Hasil coretan
NURLIZA HAMZAH
16.05.2014
2 comments:
Dan sekali lg....perasaan sebak menyelubungi diri...
Semoga cikgu selalu dlm rahmat Allah dan kita terus bersilaturahim hingga ke hujung usia
Allahuakbar
benarlah kata orang, buat baik sudah pastilah kebaikan itu dikenang orang. apatah lagi jasa seorang guru yang banyak baktinya kepada anak bangsa.
bagaikan seorang ibu, tabah mendidik "anak-anaknya" utk berjaya.
bila diri dihargai sudah pasti terpancar kegembiraan dan terharuan di wajah cikgu. you deserve it cikgu.
dan tidak lupa juga penghargaan buat kalian semua yg telah berusaha.
menghargai sudah pasti dihargai.
Post a Comment