UKHUWWAH TILL JANNAH

'UKHUWWAH TILL JANNAH'

Saturday, May 17, 2014

CIKGU NURLIZA HAMZAH: CORETAN MENJADI GURU


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


PERJUANGAN HIDUPKU

Hasrat untuk menjadi seorang pendidik tidak terlintas langsung dalam kotak fikiran ini setelah menduduki peperiksaan MCE ( Malaysian Certificate of Education  -  2 tahun kemudian diganti dengan SPM) pada tahun 1978.  Masih seronok dengan alam remaja, dikelilingi oleh rakan-rakan perempuan; maklumlah menuntut ilmu yang menempatkan murid-murid perempuan sahaja; pilihan arwah bapaku. Sewaktu bersama kawan-kawan, tiada lain - cerita-cerita suka duka untuk menempuh hidup yang penuh pancaroba dimana semuanya akan meninggalkan alam persekolahan.


Bapaku seorang yang berpendirian tegas. Seorang guru sekolah yang berdisiplin dan sangat prihatin akan kemenjadian anak-anaknya. Diri ini diasuh dan dibelai serta diberi pendidikan supaya tahu menghargai apa yang dikehendaki oleh Pencipta yang Maha Agong. Dalam diam-diam, rupanya arwah bapaku telah berhasrat untuk menghantar aku ke maktab perguruan. Masih terngiang-ngiang kata-katanya dalam nada yang lembut, “Jadilah cikgu, kerja separuh hari. Bila dah kahwin separuh hari tu, untuk suami dan anak-anak”. Tapi, hati ini meronta-ronta kerana tidak mahu mengikut jejaknya; hati ini memberitahu yang pekerjaan seorang guru bukan untukku. Aku mahu pekerjaan yang berbentuk lasak dan mencabar.



Semua itu terkubur setelah keputusan MCE disiarkan dan borang untuk masuk ke maktab perguruan telah pun berada ditangannya. Aku tidak diberi pilihan. Malangnya ketika itu, tidak ada ceramah atau bimbingan atau kata nasihat tentang “career” masa depan. Apa daya ku..... Sewaktu dibangku sekolah, hidupku hanya di padang hoki. Adakah aku akan jadi guru Pendidikan Jasmani? Hanya bersukan dan bermain hoki yang telah membawa aku ke peringkat tinggi. Tahun 1980, aku gagal ke maktab perguruan. Calon-calon guru Pendidikan Jasmani sangat ramai. Bapaku tidak berputus asa, arwah (beliau) mencari jalan agar aku dapat juga menjadi seorang pendidik.

Haluan diri ini telah ku ubah.  Melalui seorang kawan, aku telah bekerja disebuah syarikat swasta di Seksyen 13, Petaling Jaya. Nama syarikat itu William Jacks, kini telah lenyap di bumi Malaysia – sebuah syarikat yang membekal kabinet dapur dan bahasa pertuturan adalah bahasa Inggeris.  Alhamdulillah, bahasa Inggeris ku “not bad”, tempat kerja dan tempat tinggal pula sangat dekat. Aku hanya berjalan kaki ke tempat kerja. Kini rumah yang ku duduki - berdekatan dengan SK Sri Petaling tu sudah dijadikan showroom.  Rumah tu kebetulan didiami oleh saudara  ku. Walaupun hidup di kota (ketika itu baru berumur 19 tahun), tapi aku tidak pandai bersosial. Pada masa yang sama, arwah bapaku telah pun membawa aku berjumpa dengan sepupu emak ku, seorang pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran. Katanya, laluan dan pilihan yang paling  mudah ke maktab perguruan adalah menjadi guru muzik kerana ketika itu guru muzik bangsa Melayu amat kurang di Malaysia.

Aku tidak ada pilihan. Arwah bapaku telah membeli sebuah organ. Pada zaman dulu, kalau ada alat muzik di rumah apatah lagi rumah orang Melayu.... hebat! Aku disuruh belajar bermain organ. Aduh! Manakan mau.... tangan ini tahu menghayun kayu hoki manakan mau jari-jari ini memetik keyboard organ!!! Namun, aku tidak menghampakan hasrat murni bapa yang amat kusayangi. Dalam masa beberapa bulan, aku berjaya bermain organ dan belajar selok belok dunia muzik disamping bekerja sebagai kerani am. Pada ketika itu, gaji yang ku terima ialah RM 550.00, memang besar jumlahnya. Arwah bapaku yakin aku akan mengikut jejak langkahnya, tanpa persetujuan dari emakku. Borang telah pun dihantar ke Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan tak lama kemudian sesi temuduga dijalankan. Untuk memenuhi hasrat orang tua ku, aku bersungguh-sungguh dalam sesi temuduga yang memerlukan aku bermain alat muzik, menyanyi dan menari tarian Melayu asli.  Ya, aku diminta menari tarian zapin. Bagaimana lincahnya aku di padang hoki, begitulah ku ‘transform’ kan kedua kaki untuk dihayun bersama dengan irama melayu. Betul atau salah, belakang kira, janji aku BUAT!

01. 04.1981 – Tarikh keramat : kakiku menjejaki Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.  Kumpulan pertama bagi sesi 3 tahun latihan perguruan – 1981 – 1983 jurusan muzik. Wajah kedua orang tua ku ketika itu, tak dapat ku bayangkan, mereka berdua terlalu gembira kerana anak tunggal perempuan mereka akan menjadi seorang GURU. Tercapai cita-cita bapaku yang aku menjejak langkahnya. Suatu bidang yang sangat asing buat diriku, namun ku lalui juga walaupun aku menghilangkan diri di padang hoki dan mula mengenali  permainan tenis. Hidup ku dibahagi dua - mewakili maktab dalam pertandingan hoki  dan pertandingan nyanyian/lakonan antara maktab-maktab perguruan di seluruh Malaysia. Kenangan yang tidak mungkin ku lupakan semasa menjadi guru pelatih.

Kini, tahun 2014 genaplah 30 tahun aku menjadi seorang guru; pernah mengajar di sekolah-sekolah sekitar Teluk Intan, Perak dan di Petaling Jaya, Selangor. Kalau nak dihitung lebih dari 15 buah sekolah telah ku beri sumbangan. Hidupku bergelumang dalam dunia pendidikan – murid dan buku tidak dapat dipisahkan, pelbagai jawatan telah kusandang baik dari segi kurikulum atau kokurikulum mahupun sebagai pentadbir sekolah samada di sekolah mrendah atau menengah. Menjadi guru, amat mencabar sebab aku berhadapan dengan manusia yang berbagai ragam – berurusan sesama rakan-rakan seperjuangan, ibubapa, murid-murid dan komuniti sekeliling. Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan segalanya hingga dunia perguruan yang tidak ku impi telah sebati dalam diriku ini.


Tahun ini, tahun bersejarah buat diriku kerana insan-insan yang pernah menjadi muridku telah meraikan perkhidmatanku selama 30 tahun sebagai pendidik (1984-2014).  Satu keajaiban!!! Murid-muridku Darjah 6A, SRK Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor, khasnya, kalian amat istimewa dalam hidupku ini. Kuasa Allah swt tidak siapa pun tahu, sesungguhnya pertemuan kita dalam tahun 1986 tidak hilang begitu saja. Syukur, dikala hayat ku yang akan hampir ke penghujung, kita dipertemukan semula!!! Sekali lagi..... terima kasih kesemua otai-otai 86, semoga ikatan ukhuwah berkekalan hingga ke ahir hayat.



“SELAMAT HARI GURU” juga ku ucapkan kepada murid-muridku yang juga menjadi GURU agar menabur bakti kepada anak-anak bangsa demi negara yang tercinta dan bekerja kerana Nya. Syabas dan tahniah, kalian telah berjaya dipersada dunia.








Hasil coretan
NURLIZA HAMZAH

16.05.2014



























2 comments:

Anonymous said...

Dan sekali lg....perasaan sebak menyelubungi diri...
Semoga cikgu selalu dlm rahmat Allah dan kita terus bersilaturahim hingga ke hujung usia
Allahuakbar

Anonymous said...

benarlah kata orang, buat baik sudah pastilah kebaikan itu dikenang orang. apatah lagi jasa seorang guru yang banyak baktinya kepada anak bangsa.

bagaikan seorang ibu, tabah mendidik "anak-anaknya" utk berjaya.

bila diri dihargai sudah pasti terpancar kegembiraan dan terharuan di wajah cikgu. you deserve it cikgu.

dan tidak lupa juga penghargaan buat kalian semua yg telah berusaha.

menghargai sudah pasti dihargai.